Bismillah ir Rahman ir Rahim

Segala puji-pujian hanya kepada Allah SWT, selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga dan para sahabat baginda.

Alhamdulillah, bagi pihak Awqaf Holdings Bhd, (AWQAF), kami memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi, kerana dengan izin dan limpah kurniaNya, AWQAF berjaya mencatat beberapa pencapaian baharu seperti yang terkandung dalam Laporan Tahunan bagi Tahun Kewangan 2016.

Sesungguhnya, menerusi penerbitan Kenyataan Korporat 2016 ini, sekali lagi, tercapailah hasrat Awqaf Holdings Bhd untuk sentiasa bertindak dengan terbuka, tulus dan telus, menyampaikan segala maklumat berkaitan AWQAF dan perkhidmatannya. Ketelusan ini penting bukan sahaja bagi Ahli-Ahli AWQAF dan semua pewakaf dan pelabur di dalam projek AWQAF, malahan juga kepada badan seperti Majlis Agama Islam Negeri Sembilan selaku pihak berautoriti yang mentauliahkan status Mutawalli kepada Awqaf Holdings Bhd atas dasar AWQAF sebagai sebuah institusi “Waqaf Korporat®”.

Selain itu, pada akhirnya ketelusan dan maklumat lengkap juga wajib disampaikan kepada masyarakat amnya, supaya masyarakat sendiri dapat menilai prestasi, mengukur prncapaian atau sebaliknya, selain memahami aspirasi dan matlamat perjuangan AWQAF.   Masyarakat harus meyakini bahawa kaedah pengurusan AWQAF berupaya melindungi kepentingan jangka panjang masyarakat amnya dan umat Islam Malaysia khasnya.

Pada akhirnya, tujuannya ialah untuk menggalakkan masyarakat memberi sepenuh keprcayaan kepada AWQAF dan mendokong institusi Waqaf Korporat® sebagai satu institusi yang pada jangka panjang, insya Allah, akan dapat membantu menyelamatkan harta dan aset milik umat daripada terlepas milik kepada pihak luar atau asing.

Waqaf Korporat®

Dalam membentangkan Laporan Tahunan AWQAF 2016, izinkan kami menghurai dan memberikan penjelasan ringkas mengenai konsep Waqaf Korporat®, aspirasi dan rasional di sebalik penubuhannya, serta menggariskan kaedah yang AWQAF gunakan dalam melaksanakan projek pertamanya, iaitu projek pembangunan hartanah komersil PERSADA AWQAF di Putrajaya.

Waqaf Korporat® adalah satu inovasi yang mengintegrasikan institusi wakaf Islam secara langsung ke dalam sistem pembangunan ekonomi negara yang hari ini dilihat dipacu terutamanya oleh organisasi bisnes dan korporat swasta.  Matlamat jangka panjangnya ialah menyeimbangkan sistem ekonomi yang didominasi oleh korporat milik swasta, bertujuan memberi peluang kepada majoriti rakyat jelata mendapat akses dan manfaat yang saksama daripada perkembangan sektor bisnes dan korporat negara.

Semua pegangan aset dan harta milik AWQAF ialah bersifat aset atau harta wakaf dan milik amanah yang dipegang oleh AWQAF sebagai Waqaf Korporat® bagi pihak masyarakat Muslim khasnya. Menerusi kaedah ini rakyat majoriti dapat berkongsi manfaat penambahan nilai dan penjanaan kekayaan melalui aktiviti korporat dan perniagaan yang mapan.   Dengan cara ini juga, sumber modal wakaf masyarakat dan komuniti Muslim khasnya dapat digembleng untuk menambah nilai ekonomi ke arah mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi, menangani kemiskinan dan mengekalkan kemakmuran masyarakat melalui pendekatan berasaskan bisnes. Kaedah bisnes menggalakkan keusahawanan, sekali gus menjana harta dan memperkaya peluang-peluang pekerjaan untuk manfaat masyarakat.

Selain itu, berdasarkan prinsip “wakaf” dengan menyerahkan hak milik atas nama Allah SWT, institusi Waqaf Korporat® seperti AWQAF dapat menjamin pengekalan dan kelestarian hakmilik aset, hartanah, bisnes dan harta korporat kekal berpanjangan generasi demi generasi. Dengan cara ini AWQAF dapat membina keupayaan korporat ummah memperkasa ekonomi negara untuk bersaing di pasaran global yang didominasi korporat gergasi global.

Dalam keadaan umat Islam sangat tertekan hari ini, adalah menjadi kewajipan mereka memulakan langkah untuk bertindak besar bertaraf satu jihad, memobilisasi semua sumber untuk menjayakan pencapaian Maqasid Al Syari’ah, terutama apabila iman, diri (atau nyawa), akal, generasi dan harta kekayaan milik umat kelihatan semakin terhakis dan terancam. Sesungguhnya umat Islam tergugat dari segala sudut dalam bidang kehidupan, yang berpunca bukan sahaja daripada ancaman oleh musuh Islam dari luar, malahan juga daripada kelemahan dalaman di kalangan umat.

Dalam konteks sistem ekonomi dunia yang diterajui bisnes atau business-driven, umat Islam telah ketinggalan jauh di belakang dan majoriti umat Islam berpanjangan hidup miskin.   Di negara Islam yang maju ekonominya sekali pun, seperti Malaysia, majoriti Muslim miskin relatif, terkebelakang dari segi pendapatan dan harta kekayaan berbanding dengan warga negara bukan Islam; terperangkap dalam kongkongan berpendapatan sederhana dan sebahagian besar tidak berdikari, berkelangsungan bergantung hidup terutama kepada kerajaan sendiri.

Keadaan ini timbul terutama disebabkan oleh kegagalan umat menyambut seruan agama mereka menjadikan perniagaan atau bisnes “sembilan persepuluh” daripada sumber rezeki.  Juga, kegagalan mereka membina keupayaan untuk bersaing dalam bisnes secara teratur dan berorganisasi.   Waqaf Korporat® bertujuan khas untuk mengatasi kelemahan organisasi dengan memperkasakan ekonomi ummah menggunakan institusi wakaf warisan Islam.

Kaedah wakaf turut memangkinkan proses memperkasa ekonomi umat dilakukan tanpa menambahkan lagi kerosakan kepada masyarakat dan tamadun, iaitu dengan menegakkan amanah dan memperjuangkan keadilan sebagai teras peradaban tinggi Islam.   Selain itu, Waqaf Korporat memangkinkan kaedah inklusif tanpa mengetepikan sesiapa, terutama golongan majoriti berpendapatan rendah dan sederhana yang umumnya dipinggirkan oleh sistem ekonomi kapitalis global yang cuma meperkasa dan memperkayakan golongan atasan yang kaya-raya, langsung menekan, menindas dan meminggir golongan majoriti yang miskin dan hidup menderita dibelenggu hutang dan kesempitan sepanjang hayat.

Ditubuhkan sebagai sebuah wakaf, Waqaf Korporat® boleh bertindak sebagai sebuah institusi berasaskan komuniti atau community-driven yang menggerakkan sumber-sumber komuniti untuk menjadi peneraju utama menjayakan bisnes mapan milik komuniti.   Antara faktor-faktor kritikal yang menjadi pra-syarat kepada kejayaan Waqaf Korporat® adalah penubuhannya sebagai organisasi bermatlamatkan bisnes sepenuhnya.   Struktur korporat dan sistem pengurusannya, seperti yang diamalkan oleh AWQAF, wajib mengguna-pakai amalan tadbir urus korporat terbaik, selain menentukan ia diterajui oleh eksekutif berdaya keusahawanan entrepreneur pada setiap masa.

Sebagai sebuah badan korporat berasaskan bisnes yang mesra pasaran, AWQAF tidak berhasrat bertindak eksklusif hanya membabitkan warga Islam dalam aktiviti-aktiviti bisnesnya, malah perlu mengambil kira suasana masyarakat majmuk pelbagai kaum dan agama.   Oleh itu, sekali pun menggunakan institusi wakaf Islam, tumpuan bisnes dan korporat wajar fokus kepada memanfaatkan sepenuhnya keahlian dan kepakaran unggul dan terbaik tanpa mengira kaum dan keturunan, terutama dalam menggembleng daya keusahawanan atau entrepreneurship berkeupayaan tinggi.

Satu kelebihan strategik terdapat pada institusi Waqaf Korporat ialah pengekalan hak miliknya. Ciri ini sangat penting untuk membanteras kebocoran dan hakisan aset dan bisnes milik bangsa Melayu dan umat Islam yang berleluasa berlaku, terutama setelah Dasar Penswastaan diperkenalkan. AWQAF berpendapat penswastaan kepada badan Waqaf Korporat satu pilihan terbaik yang perlu kerajaan utamakan, kerana ia tidak membabitkan pindahan kepentingan kepada individu yang mudah terlepas tangan.   Lagi pun penswastaan konvensional sering dianggap sebagai suatu perbuatan “memindahkan kekayaan milik amanah majoriti golongan miskin untuk manfaat segelintir orang kaya”. Kaedah penswastaan begini wajar dikaji semula kerana ia pasti mengakibatkan pelebaran jurang kaya-miskin, selain berpotensi menghakiskan hak milik negara jika akhirnya terlepas pula pemilikannya kepada warga atau korporat asing, termasuk MNC global.

Penswastaan aset dan bisnes milik GLC atau kerajaan kepada Waqaf Korporat® sangat wajar kerana organisasi Waqaf Korporat® bukan milik kerajaan.  Lagi pun langkah ini menyumbang secara langsung kepada memperkasakan rakyat jelata dan golongan bukan korporat, sekali gus merapatkan jurang ekonomi, menambah nilai modal sosial selain membangkitkan kepercayaan rakyat membulatkan perpaduan bangsa.

Sama seperti wakaf tradisional untuk tujuan kebajikan, Waqaf Korporat® juga berpotensi menyeimbangkan ekonomi supaya lebih adil, saksama dan prihatin. Dalam hal ini, AWQAF telah mula melancarkan program ZuriatCARE, yang ditujukan khas untuk membasmi salah satu masalah besar yang dihadapi masyarakat Muslim kontemporari, iaitu berhubung dengan fenomena pembuangan atau pembunuhan bayi serta fenomena warga remaja yang semakin ramai didapati berkesedudukan sehingga melahirkan anak yang tidak sah taraf.

Bila sampai kepada tahap critical mass nanti, rangkaian institusi Waqaf Korporat® dijangka dapat membiayai dan menyokong program pembangunan sosial oleh mana-mana NGO.dalam membasmi bukan sahaja fenomena ini, juga masalah sosial lainnya. Program amal AWQAF juga berupaya dikembang-luaskan untuk menyampaikan kebajikan berimpak tinggi dan berkelangsungan yang juga tidak eksklusif, malah membawa manfaat untuk semua golongan rakyat miskin dari kalangan semua kaum, peringkat kelas dan pendapatan.

Waqaf Korporat® adalah inovasi institusi yang bukan hanya terhad kepada mengurus saham -saham yang diwakafkan oleh masyarakat Islam, iaitu satu kaedah wakaf saham yang telah diperkenalkan dalam dunia Islam dari sejak tahun 1900-an lagi. Ia juga berperanan lebih luas berbanding penubuhan yayasan atau badan wakaf anjuran syarikat swasta atau badan korporat untuk tujuan CSR atau kebajikan yang banyak terdapat hari ini. Justeru, organisasi Waqaf Korporat® mesti beridentiti korporat dan berkuasa autonomi sepenuhnya, menjana keupayaan ekonominya sendiri, tertakluk kepada peruntukan kuasa dalam Memorandum dan Artikelnya (“M&A”) dan syarat-syarat kelulusan Mutawallinya. Susunan organisasinya juga perlu distrukturkan supaya berkeupayaan tinggi dan berkelangsungan menentukan masa hadapannya sendiri di bawah bimbingan pengasas dan ahli Lembaga Pengarah yang berwibawa, berkepakaran dan berpengalaman dalam bisnes mengikut kaedah korporat.

Tegasnya, Waqaf Korporat® adalah institusi unik yang sangat berbeza dengan yayasan atau badan amanah yang ditubuhkan oleh syarikat-syarikat milik swasta.   Perbezaan paling asas ialah hakikat bahawa Waqaf Korporat® bukan dimiliki oleh mana-mana entiti swasta atau golongan eksklusif korporat tertentu. Oleh itu, Waqaf Korporat® tidak bergantung masa depannya kepada sumbangan, anjuran atau ihsan kepentingan peribadi individu atau korporat tertentu. Banyak yayasan atau badan amanah dan badan-badan amal hari ini terus menerus bergantung kepada kemurahan hati dan keikhlasan penderma dan penaung korporat masing-masing yang kadang kala mendedahkan mereka kepada pasang-surut keupayaan penderma menyumbang dan menderma.

Mencapai aras kecemerlangan baru

Alhamdulillah, sejak penubuhannya, pelbagai aktiviti telah AWQAF jalankan bagi memberi pencerahan berkenaan Waqaf Korporat®, termasuk pendedahan dan pendidikan serta dakwah berterusan berhubung manfaat Waqaf Korporat® kepada masyarakat khususnya dan potensi impak besarnya kepada ekonomi negara secara amnya. Kesedaran dan pengetahuan masyarakat telah diterjemahkan dengan penerimaan dana wakaf terkumpul pada akhir Tahun Kewangan 2016 berjumlah RM2.55 juta. Sebahagian terbesar sumber wakaf diterima dalam bentuk wakaf yuran ahli apabila semua pewakaf diiktiraf sebagai Ahli AWQAF mengikut kategori masing-masing.

Bagi pihak AWQAF, kami bersyukur dan berterima kasih di atas amanah dan kepercayaan yang diberikan terutama oleh ahli-ahli baharu dalam menjayakan himpunan dana wakaf tersebut.

Bagi memanfaatkan sepenuhnya himpunan dana wakaf ini, pihak AWQAF telah melabur dalam industri hartanah dengan pembelian 2.2 ekar tanah di Presint 3 Putrajaya. Pada 26 March, 2015, AWQAF telah menandatangani satu Perjanjian pembelian tanah bersama Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PJH), yang sekali gus menandakan komitmen AWQAF membangunkan projek pertamanya di Putrajaya. Berdasarkan perjanjian tersebut, AWQAF segera bertindak meletakkan asas pelaburannya ke dalam projek pembangunan hartanah komersil pertamanya, iaitu PERSADA AWQAF. Projek ini terletak di lokasi strategik iaitu di pusat komersil utama Putrajaya berhadapan Masjid Tuanku Mizan Putrajaya. Projek ini dijangka akan membabitkan nilai kasar pembangunan (GDV) berjumlah RM376 juta dan tuurut membuka peluang kepada orang ramai melabur dengan membeli premis komersil di Pusat Komersil (Central Business District) Putrajaya.

Model bisnes yang berdaya maju menggabungkan dan merealisasikan kedua-dua matlamat wakaf dengan matlamat bisnes/korporat telah berjaya dibangunkan oleh AWQAF.   Model bisnes ini disimpulkan ke dalam slogan: “Waqaf Korporat: Penyelamat Harta Negara, Bangsa dan Umat!”.

Program ZuriatCARE:  Program fi sabilillah mendekati masyarakat dan memberi bantuan

Selain melindungi harta seperti yang dianjurkan oleh aspirasi Maqasid Syariah, AWQAF juga tidak ketinggalan dalam menjayakan salah satu lagi anjuran Maqasid, iaitu pemeliharaan keturunan. Sehubungan dengan itu AWQAF telah menubuhkan Tabung Waqaf Khas ZuriatCARE yang dipertanggungjawab mengendalikan program amal fi sabilillah.  Antara lain, ZuriatCARE di bawah pimpinan Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir, juga salah seorang Ahli Lembaga Pengarah AWQAF, telah pun bertindak bekerjasama rapat dan memberi sokongan kepada NGO yang aktif dalam melindungi kepentingan zuriat keturunan.

Kami juga amat bersyukur kerana pada hari pertama Tabung Waqaf Khas ZuriatCARE dilancar, Tabung ini berjaya menerima dana wakaf sebanyak RM132,000.   Jumlah tersebut meningkat kepada RM152,073 pada Tahun Kewangan 2016. Dana ini telah digunapakai untuk memberi sumbangan kepada beberapa NGO yang aktif melindungi remaja wanita, terutama yang terlibat dengan masalah anak tidak sah taraf. Selain itu, melalui Dana Waqaf ZuriatCARE ini juga beberapa forum dan program kesedaran dianjurkan dalam usaha untuk memberi pendedahan dan pengetahuan berkenaan gejala sosial ini yang merosakkan.   Setelah diambil kira segala perbelanjaan penganjuran program-program terbabit, baki Dana Terkumpul Waqaf ZuiratCARE pada akhir 2016 berjumlah RM129,008.

Seperti yang sedia maklum, salah satu ciri asas Waqaf Korporat® adalah menghimpun dan memelihara sumber (accumulate & conserve resources) yang mana ianya dilaksanakan melalui pembahagian keuntungan bersih perniagaan kepada dua bahagian; iaitu 70 peratus daripada keuntungan dilaburkan semula dan 30 peratus disalurkan kepada aktiviti fi sabilillah.  Dengan adanya prospek keuntungan daripada pelaburan projek PERSADA AWQAF sumber dana untuk Tabung Waqaf Khas ZuriatCARE dijangka akan meningkat, sekali gus berpotensi memperluaskan impak program fi sabilillah AWQAF untuk manfaat masyarakat.

Sepanjang Tahun Kewangan 2015-2016 beberapa aktiviti kebajikan ZuriatCARE telah dilaksanakan. Antaranya, kerjasama dengan Dewan Perdagangan Islam Malaysia cawangan Putrajaya; NGO Seed dan kerjasama rapat dengan Hafizah Hana & Associates menjayakan program iftar cahaya Ramadhan pada 10 Julai 2015 bagi meraikan 80 anak-anak daripada Yayasan Chow Kit dan Rumah Anak Yatim dan Asnaf As Solihin Kanchung Darat.

Selain itu ZuriatCARE telah membuat lawatan ke Pusat Bimbingan Remaja Raudhatus Sakinah dan Pusat Perindungan Wanita Dar Assa’ Adah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Kesinambungan daripada lawatan tersebut, ZuriatCARE telah mewujudkan satu kolaborasi strategik bersama Raudhatus Sakinah dalam usaha memberi kesedaran dan bimbingan kepada para remaja perempuan dan wanita.

Kolaborasi ini diteruskan pada 2016, dengan penganjuran beberapa program kesedaran meliputi pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelajar pelajar peringkat sekolah, peringkat universiti dan masyarakat secara keseluruhannya.   Di antara program – program yang telah dilaksanakan termasuklah program forum kesedaran peringkat masyarakat awam yang bertajuk “Zuriat, Satu Amanah atau Fitnah” bertempat di Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam. Program ini menggabungkan beberapa panel yang terlibat secara lansung dalam masalah remaja dan wanita yang menghadapi masalah khususnya mengandung anak tidak sah taraf dan cendiakawan agama yang memberi pandangan dan kupasan yang terperinci dalam menangani masalah ini. Gandingan ZuriatCARE bersama rakan strategiknya, Raudhatus Sakinah juga meneruskan penganjuran program kesedaran ini di peringkat sekolah dan juga universiti. Antara program tersebut adalah program “Atas Nama Cinta” yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 14 (1) Putrajaya dan program “Antara Cinta dan Cita – Cita” yang telah dianjurkan dengan kerjasama KPJ Healthcare University College Nilai Negeri Sembilan.

Program – program ini dijalankan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran, mendidik dan berkongsi maklumat bersama dengan masyarakat, pelajar-pelajar sekolah, anak-anak muda khususnya pelajar universiti dalam memimpin mereka mengenai cara bagaimana menyumbang dan mengatasi isu-isu sosial yang membimbangkan. Secara keseluruhan, maklum balas yang baik serta menggalakkan telah diterima daripada peserta yang terlibat. Pensyarah, guru – guru dan pelajar yang menyertai program ini, amat teruja dan sangat berminat dalam setiap modul yang dibentangkan. ZuriatCARE berhasrat untuk meneruskan program ini pada masa akan datang, bagi memastikan program kesedaran seperti ini disampaikan secara berterusan kepada masyarakat secara menyeluruh.

Pencapaian 2016 dan fokus 2017

Sepanjang Tahun Kewangan 2016 dan 2017, selain meneruskan kempen kesedaran dan pendidikan tentang manfaat dan implikasi wakaf, aktiviti AWQAF lebih ditumpukan kepada pembangunan PERSADA AWQAF.  Sehubungan itu kerjasama dengan pihak pengurusan dan pemasaran projek, para  arkitek, juru-ukur tanah dan bahan, jurutera mekanikal, elektrikal dan infrastruktur, perancang bandar dan rakan strategik berjaya menghasilkan perolehan Kelulusan Pembangunan PERSADA AWQAF daripada Pihak Berkuasa Tempatan.

Alhamdulillah, pada 5hb September 2016, Perbadanan Putrajaya telah mengeluarkan surat rasmi meluluskan pembangunan PERSADA AWQAF.

Kami mengucapkan setinggi tahniah dan terima kasih kepada semua konsultan, khasnya Mekar PDP Sdn Bhd selaku Rakan Pembangunan Projek (Project Development Partner) yang bertanggungjawab mengurus semua aspek pembangunan/pemasaran PERSADA AWQAF.

Pada 2016-2017 AWQAF akan terus aktif dalam menjayakan program perkongsian ilmu dan kempen kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat berkenaan Waqaf Korporat®.  Pelbagai program telah dilaksanakan melalui saluran yang efektif dalam menyampaikan informasi, antaranya termasuk  beberapa sesi penerangan Waqaf Korporat® kepada institusi-institusi korporat, agensi kerajaan dan institusi ilmiah dan pendidikan.

Di antara sesi perkongsian yang diadakan pada 2016 termasuk perkongsian konsep Waqaf Korporat® bersama warga kerja Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM); pembentangan dan perbincangan berkenaan konsep Waqaf Korporat® bersama Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA); perkongsian bersama pelajar dan pensyarah International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF); sesi perkongsian di Seminar Wakaf Korporat® peringkat Negeri Pahang; dan sesi pembentangan di Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016 – Menyingkap Perjuangan Bangsa, yang diadakan di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.

Selain itu, perkongsian agenda Waqaf Korporat® juga dijalankan melalui media, antaranya RTM, BFM radio, dan penulisan bersiri berkenaan Waqaf Korporat® di media cetak seperti di akhbar The Star. Jelas sekali program-program seperti ini berjaya membawa kefahaman yang lebih mendalam dan memudahkan penerimaan masyarakat terhadap AWQAF serta konsep institusi Waqaf Korporat®.

Website AWQAF, www.awqaf.my juga telah digerakkan dan website interaktif yang dimajukan oleh Rakan Digital AWQAF, BeetMal Sdn Bhd, turut memudahkan pendaftaran ahli secara atas talian, selain memangkinkan semua urusan sumbangan wakaf yuran ahli dan sumbangan wakaf tunai lainnya, termasuk sumbangan kepada Tabung Waqaf ZuriatCARE, dapat dikendalikan atas talian.

Tahun 2016 juga mencatat impak paling besar kepada perjuangan AWQAF dalam usaha mendapatkan pengiktirafan rasmi institusi Waqaf Korporat. Hal ini berlaku pada Persidangan Multaqa Ekonomi anjuran Majlis Perundingan Islam (MPI) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) Putrajaya pada 28 September 2016. AWQAF amat bersyukur kerana Pengerusi AWQAF secara rasminya telah dilantik selaku Pengerusi, Kluster Ekonomi pada persidangan Multaqa MPI terbabit.

Alhamdulillah, di akhir Multaqa, lima usul besar daripada Kluster Ekonomi telah diterima oleh kira-kira 500 peserta Persidangan Majlis MPI. Paling menggalakkan, usul utama Kluster Ekonomi Multaqa, iaitu mengenai Waqaf Korporat®, diterima sebulat suara dan dijadikan Resolusi Multaqa dengan saranan supaya institusi Waqaf Korporat® segera dijayakan pelaksanaannya di seluruh negara.

Kemuncak kepada pencapaian pada 2016 dicatat apabila Pengerusi AWQAF diundang untuk membentangkan pengalaman Malaysia dalam membangunkan institusi Waqaf Korporat® di Persidangan Waqaf Antarabangsa di bawah anjuran Pemegang Amanah Masjid Haram Makkah dan Madinah yang diadakan di kota Makkah pada 20 Oktober, 2016.

Di sidang Forum berkongsi pengalaman wakaf di negara-negara Islam, Menteri Hal Ehwal Wakaf Arab Saudi, Timbalan Menteri Wakaf Turki, Menteri Wakaf Jordan dan Menteri Wakaf Sudan turut berkongsi pengalaman di negara masing-masing.   Alhamdulillah, pada Forum sama Pengerusi AWQAF berpeluang berkongsi pengalaman penubuhan AWQAF dan institusi Waqaf Korporat® di Malaysia.

Dengan hal demikian, pada 2017, fokus dan keutamaan paling tinggi akan AWQAF tumpukan khas kepada melaksanakan pembinaan dan menjayakan pembangunan PERSADA AWQAF di Putrajaya, bertujuan menjadikan PERSADA AWQAF sebagai projek ikon yang mencerminkan kewibawaan institusi Waqaf Korporat® di Malaysia.

Penghargaan

Bagi pihak Lembaga Pengarah, kami mencatatkan setinggi penghargaan khas kepada ahli-ahli pengasas AWQAF serta semua Ahli AWQAF di atas keyakinan dan kepercayaan terhadap konsep institusi Waqaf Korporat® serta sokongan awal mereka terhadap penubuhan AWQAF. Tanpa keyakinan dan kepercayaan awal semua pengasas dan Ahli AWQAF adalah mustahil penubuhan AWQAF dapat direalisasikan sehingga mendapat pengiktirafan sewajarnya, termasuk di peringkat antarabangsa.

Kami juga mengalu-alukan penyertaan Yayasan Iqra’ di bawah pimpinan Dato’ Seri Idris Jusoh sebagai Ahli Zamrud AWQAF. Yayasan Iqra’ telah mewakafkan Yuran Ahli berjumlah RM500,000 pada 7 Mac, 2017. Penyertaan Yayasan Iqra’ memberi nafas dan menyuntik tenaga baharu, selain menguatkan lagi azam AWQAF untuk meneruskan perjuangan menjayakan institusi Waqaf Korporat®.

Di kesempatan ini kami mengalu-alukan pelantikan Ahli Lembaga Pengarah yang baharu iaitu Datuk Dr. Mohd Ghazali Bin Md Noor. Bagi pihak Lembaga Pengarah AWQAF, kami juga mencatat setinggi penghargaan kepada Ahli-ahli Lembaga Pengarah yang bersara iaitu Muhammad Tahir Hashim dan Dato’Seri Muhammad Khanafi Bin Husin. Sumbangan mereka berdua kepada AWQAF amat besar dan akan sentiasa dikenang dan dihargai.

Penghargaan juga perlu kami tujukan kepada pihak pengurusan dan warga kerja AWQAF atas dedikasi mereka terhadap usaha mengembangkan agenda Waqaf Korporat®.   Sumbangan besar mereka telah memangkinkan AWQAF berjaya mengatasi segala cabaran, halangan dan rintangan, terutama yang sangat mencabar di peringkat awal penubuhannya.   Semoga AWQAF akan terus berada di atas landasan yang tepat ke arah pencapaian yang lebih gemilang, insya Allah.

Akhirnya setinggi penghargaan kepada semua Ahli AWQAF di atas kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada AWQAF dalam memperjuangkan Jihad Bisnes dan agenda Waqaf Korporat®. Kami yakin sokongan padu yang diberikan oleh semua Ahli, juga anggota masyarakat amnya. disertai iringan doa restu semua, akan memberi kekuatan dan suntikan semangat baharu kepada pengurusan AWQAF untuk meneruskan perjuangan.

Kami mengharapkan agar seluruh warga kerja AWQAF dapat memberikan komitmen yang terbaik dan bekerja dalam satu pasukan profesional yang dinamis dan proaktif bagi memastikan AWQAF menjadi salah satu institusi yang bergerak maju dan berdaya saing, memperkasa ekonomi negara dan umat.

Percayalah, kejayaan jangka panjang AWQAF dalam usaha melindungi dan menyelamatkan aset dan harta milik negara dan umat daripada terlepas kepada milik asing, sekali gus menegakkan keadilan, amat besar makna dan pengertiannya kepada seluruh perjuangan untuk menebus maruah bangsa dan negara serta memartabatkan semula umat Islam dengan memperkasa ekonomi mereka, menegakkan keadilan ekonomi di Malaysia yang telah dirosakkan oleh kerakusan ekstrem dan kezaliman sistem kapitalis global.

Bagi pihak Lembaga Pengarah Awqaf Holdings Bhd,

Tan Sri Muhammad Ali Hashim,
Pengerusi AWQAF

Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir,
Pengerusi, ZuriatCARE,
Ahli Lembaga Pengarah AWQAF

Mohammad Sahar Mat Din,
Timbalan Pengerusi AWQAF

connexion-internet-icon

Pendaftaran Keahlian
Secara Atas Talian

Pendaftaran Keahlian
Secara Manual

Daftar Pembeli

Laporan Tahunan

Skim
Pemotongan Gaji