AHLI LEMBAGA PENGARAH

Hj Sahar

Dato’ Haji Mohammad Sahar bin Mat Din

Pengerusi

Beliau merupakan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Beliau mempunyai pengalaman perniagaan selama 25 tahun dan telah mengasaskan lebih daripada 30 buah syarikat dalam pelbagai bidang. Antara bidang perniagaan yang diterokai termasuklah pembangunan hartanah, pengurusan aset, pengeluaran makanan, pertanian, pengurusan acara, latihan, pelancongan dan pendidikan.

Beliau telah diamanahkan untuk menjawat beberapa jawatan penting di dalam badan kerajaan seperti Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara, Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin, Ahli Majlis Perundingan Islam JAKIM, Ahli Majlis Dakwah Negara, Profesor Adjung Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ahli Majlis Penasihat Perniagaan Perbadanan Putrajaya.

Beliau turut diberi kepercayaan menerajui beberapa badan bukan kerajaan seperti Presiden Persatuan Pemaju Hartanah Bumiputera Selangor, Presiden Persatuan Alumni UniSZA dan Ahli Lembaga Pengarah Pusat Wakaf Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Mohammad Sahar juga merupakan pengasas Awqaf Holdings Berhad bersama Almarhum Tan Sri Muhammad Ali Haji Hashim yang merupakan sebuah Syarikat Waqaf Korporat yang ulung di negara ini. Beliau pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Usahawan Belia Negeri Selangor pada tahun 1999.

 

 

pn Azizah

Puan Azizah binti Abdul Rahman

Pengarah Bebas

Beliau merupakan Ahli Fellow Chartered Institute of Management Accountants UK (FCMA) dan Ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Beliau telah dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di Agro Bank Berhad bermula 1 Julai 2016

Beliau merupakan bekas Pengarah Ternakan Bersepadu dan Pembuatan Makanan – QSR Brands Berhad dan KFC Holdings Berhad dari tahun 2006 sehingga tahun 2012 (sebelum penswastaan) sehingga beliau bersara pada 1 Ogos 2012.

Beliau pernah memegang jawatan Pengurus Besar Kewangan dan Ketua Pegawai Kewangan di Johor Corporation pada tahun 2000 sehingga 2005.

Selain itu, beliau yang mempunyai pengalaman luas, pernah menjawat kerusi Pengurus Besar Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Antara Steel Mills Sdn Bhd, yang merupakan sebuah anak syarikat di bawah Johor Corporation dari tahun 1981 sehingga tahun 2000 (sehingga Asset Pertukaran Latihan dengan Lion Group Berhad).

Beliau adalah bekas Pengarah Johor Land Berhad sepanjang tahun 2005 sehingga tahun 2006 (sebelum penswastaan).

Turut aktif dengan penglibatan tanggungjawab sosial, beliau adalah Naib Pengerusi Persatuan Kebajikan Darul Hanan, rumah anak yatim di Pasir Gudang, Johor dari tahun 2002 -2012.

Selain itu, beliau menyandang jawatan Pengerusi dan Pengarah Syarikat di bawah Johor Corporation yang terlibat dalam perniagaan makanan segera, pembuatan pakanan dan pembungkusan, pembiakan penternakan dan pertanian, pembuatan keluli, penjagaan kesihatan, pembiakan udang dan perladangan kelapa sawit.

Puan Sri

Puan Sri Noorzilah binti Mohammed Ali

Pengarah Bebas

Bergiat aktif melakukan amal kebajikan Rumah Anak Yatim dan yang Kurang Bernasib Baik di Pasir Gudang. Dilantik sebagai pengerusi Darul Hanan sejak tahun 1993 hingga kini.

Merupakan Pengarah Eksekutif NASA Power Sdn Bhd.

Beliau turut dilantik sebagai Pengarah Business Jihad Sdn Bhd.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Kanak-Kanak Terencat Akal johor Bahru dari tahun 1983 hingga 1996.

Beliau juga merupakan Pengasas Sekolah Kanak-Kanak Istimewa dari tahun 1983 hingga 1996.

Selain itu, beliau yang mempunyai pengalaman luas pernah menjadi Ahli Jawatankuasa MAWAR Pusat dan di peringkat cawangan pula, beliau menjawat kerusi Pengerusi MAWAR Cawangan Pasir Gudang.

 

Rafeah Ariffin

Puan Rafeah binti Ariffin

Pengarah Bebas

Mempunyai 25 tahun pengalaman dalam bidang Kewangan, Pemasaran dan Komunikasi Korporat di dalam pelbagai industri terutamanya sektor kesihatan.

Beliau telah dinobatkan dengan anugerah sebagai antara 100 Pemimpin Pemasaran Global Paling Berbakat oleh Kongres Pemasaran Dunia 2013.

Pada masa ini, beliau merupakan Pengarah Eksekutif di Medi Excell Sdn. Bhd., iaitu syarikat perundingan kesihatan yang menjalankan perniagaan di dalam dan luar Malaysia.

Dr. Salihin bin Abang

Pengarah Bebas

Beliau merupakan Pengasas dan Group Managing Partner firma perakaunan SALIHIN, serta bekas Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA). Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Sains Perakaunan dari IIUM, beliau turut menerima Ijazah Kedoktoran Kehormat dalam Pengurusan daripada Universiti Malaysia Terengganu. Di bawah kepimpinannya, SALIHIN berkembang menjadi firma perunding Bumiputera yang berjaya, menawarkan khidmat audit, percukaian, kewangan korporat, nasihat syariah, serta penyelesaian digital.

Beliau juga aktif dalam dunia korporat sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif di beberapa syarikat tersenarai awam seperti Boustead Plantations Berhad, Bintulu Port Holdings Berhad, Boustead Heavy Industries Corp Berhad (BHIC), dan G3 Global Berhad. Di samping itu, beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah SEDC Sarawak, serta memegang pelbagai jawatan akademik sebagai Profesor Adjung dan penasihat industri di universiti-universiti utama di Malaysia.

Dalam sektor sosial dan komuniti, beliau merupakan Naib Presiden I Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Pengerusi Yayasan SALIHIN, serta ahli lembaga beberapa yayasan lain. Sumbangannya dalam bidang profesional dan inovasi termasuk memperkenalkan Teaching Accountancy Firm – yang pertama di dunia – dan pembangunan SALIHIN Premier Solutions (SPS), perisian perakaunan berteraskan zakat dan wakaf. Beliau pernah menerima anugerah Usahawan Muda Kebangsaan, Top 50 SME’s Awards, dan pelbagai pengiktirafan antarabangsa dalam kewangan Islam dan perakaunan.

Dato’ ChM. Haji Khairul Shahril bin Hamzah

Pengarah Bebas

Dato’ Khairul Shahril mempunyai pengalaman luas lebih daripada 20 tahun merentasi sektor kerajaan, swasta dan antarabangsa. Beliau kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif HQC Commerce Sdn Bhd, sebuah syarikat perunding halal yang telah membantu lebih 1,500 perniagaan memperoleh pensijilan halal JAKIM termasuk jenama besar seperti Subway Malaysia, Chatime, Tealive, Daboba, Zenith Hotel dan banyak lagi.

Beliau berperanan dalam pembangunan kapasiti industri halal melalui latihan, konsultasi, pembangunan model perniagaan serta pengurusan acara berskala besar seperti Malaysia Halal Expo dan penganjuran HQC Global Brand Awards. Di bawah kepimpinannya, HQC Commerce turut menjalankan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan seperti SME Corp, MARA, KUSKOP, JAKIM serta institusi kewangan Islam.

Selain itu, beliau aktif di peringkat antarabangsa dengan dilantik sebagai Trade Supporter oleh Gabenor Oita, Jepun, serta pernah menjadi Penasihat Halal di Jepun, China dan Indonesia. Beliau juga terlibat dalam organisasi bukan keuntungan, antaranya sebagai Naib Presiden Dewan Perniagaan Islam Malaysia, Pengerusi Yayasan Pembangunan Komuniti & Sosio-Ekonomi Malaysia (YPKSEM), serta Pengerusi Pertubuhan Darul Kifayah.

Dari sudut akademik, beliau kini calon Doktor Falsafah Pentadbiran Perniagaan (DBA) di University of Malaya-Wales, memiliki Ijazah Sarjana Sains dalam Polisi Kerjasama Antarabangsa dari Ritsumeikan University Jepun, dan Ijazah Sarjana Muda Kimia dari Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga ahli berdaftar Institut Kimia Malaysia (ChM).

Atas sumbangan beliau, Dato’ Khairul Shahril telah dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2016.

Datuk Wira Dr. Ramli bin Tahir

Pengarah Bebas

Datuk Wira Dr. Ramli Tahir merupakan seorang doktor perubatan bertauliah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dan Ijazah Doktor Perubatan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Beliau juga memiliki kepakaran sebagai Doktor Kesihatan Pekerjaan yang diperakui oleh NIOSH.

Mempunyai pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang perubatan dan pengurusan kesihatan, beliau pernah berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai Penolong Pengarah Hospital Labuan dan pegawai perubatan di pelbagai jabatan termasuk Unit Hemodialisis Labuan. Kini, beliau merupakan Pengarah Urusan Klinik Surgeri Bakti Sdn Bhd dan Bakti Property Sdn Bhd, di samping bertugas sebagai Doktor Residen Klinik & Surgeri Bakti di Labuan.

Selain kerjaya perubatan, beliau aktif dalam NGO dan badan masyarakat. Beliau ialah Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), merangkap Pengerusi DPIM Labuan, serta memegang pelbagai jawatan termasuk Timbalan Yang Dipertua Pengakap Negeri W.P Labuan, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penyayang W.P Labuan, dan penaung Surau Al-Mubarakah. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Agung Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM), Pengerusi Koperasi Doktor Klinik Swasta Malaysia, serta ahli majlis penasihat Perbadanan Labuan.

Atas sumbangan beliau dalam bidang perubatan, kebajikan dan kepimpinan masyarakat, Datuk Wira Dr. Ramli telah dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira pada tahun 2021.

Dr. Hj. Abdul Hakim bin Jaafar

Pengarah Bebas

Dr. Hj. Abdul Hakim merupakan seorang pakar bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) berpengalaman luas dalam bidang perubatan dan pengurusan kesihatan. Beliau memperoleh Ijazah Kedoktoran Perubatan (MBBCh) dari Universiti Kaherah, Mesir dan Ijazah Sarjana Pembedahan (ORL – Head & Neck Surgery) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Kerjayanya merangkumi lebih 40 tahun dalam perkhidmatan kesihatan termasuk sebagai Ketua Jabatan ORL Hospital Pusrawi Kuala Lumpur (2006–2019), Pengarah Perubatan Hospital Pusrawi (2019–2021) dan kini sebagai Pengarah Marhakim Holding Sdn. Bhd. serta Marhakim Sdn. Bhd.. Beliau juga berkhidmat sebagai perunding ENT di Hospital Pusrawi sejak 1993.

Selain penglibatan klinikal, beliau memegang pelbagai jawatan dalam badan profesional dan NGO. Antaranya, beliau ialah Fellow Academy of Medicine Malaysia, bekas Presiden Persatuan Pakar ORL Malaysia (1991–1992), serta Pengerusi Pertubuhan Qaseh Marhakim dan Pertubuhan Amal iDengar Malaysia.

Dr. Abdul Hakim turut aktif dalam pembangunan ekonomi ummah melalui Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), sebagai Ahli Majlis Tertinggi DPIM (2018–kini), serta merupakan ahli korporat Awqaf Holdings Berhad.

Atas jasa dan sumbangan beliau, Dr. Abdul Hakim menerima MSO-HNS Outstanding Public & Healthcare Services Award 2013 sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dalam perkhidmatan kesihatan dan masyarakat.

Dato’ Shamsuddin bin Hayroni

Pengarah Bebas

Beliau merupakan seorang tokoh korporat dengan latar belakang kejuruteraan awam dan pengalaman luas dalam industri pembinaan dan perniagaan. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari University of New Hampshire, Amerika Syarikat serta Diploma Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi Malaysia, beliau pernah berkhidmat di Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan terlibat dalam Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Dalam dunia korporat, beliau menerajui beberapa syarikat ternama sebagai Pengerusi Eksekutif, termasuk Majulia Group of Companies, Electronic Commerce Technology Sdn. Bhd. (RealRewards), serta Casron Engineering Sdn. Bhd. Selain itu, beliau turut aktif dalam persatuan dan badan bukan kerajaan, antaranya sebagai Naib Pengerusi II PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Ahli Majlis Tertinggi Dewan Perniagaan Islam Malaysia, dan Naib Pengerusi Dewan Perniagaan Islam Malaysia (Selangor).

Sr. Haji Ishak bin Ismail

Pengarah Bebas

Beliau merupakan seorang Chartered Valuation Surveyor yang berdaftar dengan Royal Institution of Chartered Surveyors (RICS) serta berlesen sebagai Penilai, Ejen Hartanah dan Pengurus Harta dengan Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah & Pengurus Harta Malaysia (BOVEA). Beliau menubuhkan IM Global Property Consultants Sdn. Bhd. dan turut menerajui beberapa syarikat di bawah kumpulan IM Global. Dengan pengalaman dalam industri hartanah sejak tahun 1991, beliau aktif dalam bidang penilaian, pengurusan hartanah, lelongan serta pembangunan fasiliti di seluruh Malaysia.

Selain korporat, beliau banyak menyumbang kepada badan profesional dan institusi negara. Antaranya sebagai Presiden Institut Pengurus Hartanah & Fasiliti Malaysia (MIPFM), Naib Presiden FIABCI Malaysia, serta pernah menjadi Ahli Lembaga BOVEA. Beliau juga dilantik sebagai panel pakar NAPREC INSPEN, penasihat harta PUNB, dan Pengurus Harta REIT untuk beberapa institusi utama termasuk Al-Aqar KPJ REIT, PHNB dan PHB.

Dari sudut sosial, beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pengerusi Yayasan Prihatin Insan, serta kini memimpin Koperasi IM Global Berhad. Kepakaran beliau dalam hartanah sering dikongsi melalui seminar, media massa, dan universiti sebagai penasihat industri.