MENGANGKAT WAKAF SEBAGAI INSTRUMEN PENTING EKONOMI
Oleh Dr Ridzwan Bakar
COVID-19 banyak memberi pengajaran buat negara, pemimpin dan rakyat. Sejak merdeka, kita belum pernah berhadapan suasana kritikal sebegini hingga menimbulkan sedikit panik.
Tindakan awal kerajaan memberi suntikan rangsangan ekonomi amat dihargai, tetapi mungkin tidak mampu membawa penyelesaian sepenuhnya.
sekitar ¾ dari harta negara adalah berasaskan wakaf.
Perkara pokok persoalan ini banyak bersandar kepada sistem kapitalis yang seluruh dunia amalkan – sistem yang hanya membuat kerajaan dan rakyat tertekan.
Kebergantungan total rakyat kepada kantung perbendaharaan dan rizab negara akan hanya memburukkan ekonomi domestik serta melemahkan nilai ringgit.
Dalam keadaan harga minyak mentah menjunam, kebergantungan kepada hasil petroleum juga terganggu. Keseluruhan sasaran ekonomi dan Belanjawan 2020 perlu dikaji semula agar negara tidak berhadapan defisit besar.
Bagi memastikan COVID-19 dikekang, kerajaan mengambil pendekatan proaktif mengehadkan pergerakan rakyat dan menutup institusi serta perniagaan tidak kritikal. Secara langsung, ia memberi kesan kepada rakyat akibat tekanan perniagaan dialami majikan.
Keresahan mula timbul kerana sebahagian hilang pekerjaan, diminta cuti tanpa gaji atau dibayar gaji separuh. Bukan sekadar asnaf, B40 bukan kategori itu juga menerima tekanan hidup. Dengan kata lain, semua orang berasa bahang ekonomi akibat COVID-19.
Atas dasar ini, beberapa inisiatif diambil institusi kerajaan seperti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), selain pusat atau lembaga zakat dan Baitulmal negeri, bagi membantu golongan asnaf serta B40.
Secara umum, dana ini daripada hasil kutipan zakat dan Baitulmal. Pusat atau lembaga zakat negeri di bawah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) turut menyokong tambahan bantuan kewangan dan makanan di negeri masing-masing.
Langkah proaktif bantuan zakat seharusnya dipuji. Namun, satu perkara kritikal yang negara tidak bersedia ialah keperluan dana khas pembelian aset keperluan hospital awam seperti alat bantuan pernafasan dan peralatan Unit Rawatan Rapi (ICU).
Banyak dana majlis agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak memberi penekanan kepada pembelian aset untuk menyokong hospital awam. Dana diuar-uar banyak tertumpu penyelesaian jangka pendek kesempitan rakyat, sedangkan negara terdesak mengimport peralatan khas perubatan hospital bernilai jutaan ringgit.
Sejarah merekodkan hospital berteraskan wakaf dimulakan ketika pemerintahan Khalifah Harun Al-Rashid pada abad ke-9 di Baghdad. Hospital berteraskan wakaf kemudian berkembang di Damsyik hingga pemerintahan Khalifah Uthmaniah di Turki sehingga kini.
Manfaat dirasai semua rakyat, termasuk bukan Islam. Roh wakaf sebenarnya sudah ada di tanah air, hanya memerlukan suntikan kefahaman dan model wakaf kontemporari. Justeru, dua perkara dicadangkan untuk perhatian pembuat dasar.
Pertama, sudah tiba masanya pembuat dasar membangunkan Tabung Wakaf Negara (TWN) dalam mendepani situasi kecemasan seperti COVID-19. Jika negara sudah ada TWN bagi sektor kesihatan, dana wakaf boleh segera disalur ke seluruh hospital bagi tujuan pembelian aset hospital.
Negara tidak perlu tergesa-gesa mewujudkan dana kecemasan bencana yang memerlukan suntikan kerajaan atau dana tambahan daripada rizab negara.
TWN juga boleh diguna untuk membangunkan hospital wakaf di setiap negeri melalui kerjasama MAIN dan Kementerian Kesihatan (KKM). TWN boleh diurus YWM dan JAWHAR bagi menjamin integriti dan tata urus baik.
Kedua, institusi wakaf dan zakat seharusnya bergerak sealiran dalam membawa agenda umat dan negara, khususnya pada saat getir ini.
COVID-19 membuka jendela fikiran bahawa kita tidak boleh selamanya bergantung kepada hasil zakat bersifat penyelesaian jangka pendek. Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) contohnya melaporkan agihan RM39 juta berbanding kutipan RM31.5 juta (data hingga 25 Mac lalu). Trend sama dilihat di negeri lain yang agihan melebihi kutipan.
Lembaga zakat negeri akan tertekan jika dana tidak boleh bertahan lama (agihan defisit) tanpa ada mekanisme seperti rizab simpanan zakat. Perkara ini perlu diperhalusi pakar zakat negara.
Kesimpulannya, saya mencadangkan keperluan mengangkat wakaf sebagai instrumen penting. Justeru, TWN perlu diwujudkan bagi menyokong sektor penting seperti bidang kesihatan, bagi tujuan perolehan aset kecemasan dan pembangunan hospital berteraskan wakaf.
Seterusnya, peranan dan gerak kerja institusi zakat perlu diperkemaskan agar mampan dalam menyahut aspirasi masa depan ummah dan negara.
Penulis ialah Pensyarah Fakulti Pengurusan Universiti Multimedia Malaysia.
Artikel ini disiarkan di : BH online (1 April 2020)
Terkini
BICARA NARATIF : PERPADUAN EKONOMI
Bicara Naratif - Perpaduan Ekonomi (1 Oktober 2024) 👤Oleh: YBhg. Baca Seterusnya..
Temubual IKIM.fm _ Peranan Wakaf dalam Pembangunan Ekonomi Negara
Temubual IKIM.fm – "Peranan Wakaf dalam Pembangunan Ekonomi Negara" bersama Timbalan Pengerusi Baca Seterusnya..
Live Webinar Israk Mi’raj
Live Webinar: "Through Hardship There will be Ease: History and Baca Seterusnya..
LIVE Webinar Covid19 : Hikmah dan Kesiapsagaan
LIVE Webinar Covid19 : Hikmah dan Kesiapsagaan ================================ Bersama panelis Baca Seterusnya..
Memperkasakan Wakaf Sebagai Sektor Ketiga Ekonomi Negara
LIVE Topik: Memperkasa Waqaf Sebagai Sektor Ketiga Ekonomi Negara oleh: Baca Seterusnya..