16kolumnis.transformed

 

Turki sebuah negara Islam paling maju dengan kadar pertumbuhan ekonomi paling pesat berbanding negara Kesatuan Eropah (EU) lain.

Prestasi hebat ekonomi Turki semakin mendapat perhatian dunia, terutama berbanding dengan kemerosotan Greece, Itali, Sepanyol dan beberapa negara Eropah lain yang diancam pengangguran dan dilanda krisis ekonomi setelah gagal mengatasi defisit kewangan serta beban hutang kerajaan tanpa sokongan luar.

Kini Turki berkedudukan ke-16 dari segi saiz ekonomi negara di dunia dan dijangka terus berkembang pesat. Ia sebuah negara Islam berpotensi menjadi kuasa besar dengan kedudukan sangat strategik, merentasi dua benua, iaitu Eropah dan Asia.

Turki semakin mendapat perhatian dunia kerana jumlah penduduknya melebihi 73 juta; juga mempunyai profil umur paling muda berbanding negara Eropah yang “tua” dan semakin merosot jumlah penduduk. Penduduk Turki diunjurkan melebihi 90 juta pada 2040.

Turki juga merupakan sebuah negara Islam paling dinamis dan pesat pertumbuhan ekonomi. Kebijaksanaan politiknya juga semakin terserlah dan Turki dilihat berpotensi menangani isu besar dunia, termasuk mencari penyelesaian konflik sangat kompleks di wilayah Asia Barat, seperti konflik dalaman Syria dan konflik antara Arab dengan Israel.
Turki sedang bekerja keras memajukan ekonomi untuk menjadi model negara Islam moden lagi demokratik, pesat membangun dengan kaedah sistem ekonomi pacuan bisnes dan industri atau business and industry-driven berlandaskan nilai Islam.

Tegasnya, pengalaman Turki, termasuk pencapaiannya dalam mengintegrasikan institusi wakaf ke dalam arus utama pembangunan negara, boleh dijadikan contoh oleh Malaysia dan semua negara Islam lain.

Profesor Murat Cizakca, seorang pakar sejarah wakaf berbangsa Turki, berpendapat wakaf berpotensi mengatasi cabaran hebat tekanan defisit kerajaan yang dihadapi banyak negara hari ini.

Bukan sahaja wakaf dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan; malah wakaf boleh; “mencapai satu lagi matlamat ekonomi moden: iaitu agihan pendapatan lebih baik dalam ekonomi.” (Lihat Murat Cizakca, “A history of philanthropic foundations: The Islamic world from the seventh century to the present”).

 

Peranan wakaf Turki sangat luas dan menyeluruh, terutama di bawah pemerintahan Kerajaan Othmaniah (1299 – 1923). Di bawah pemerintahan Othmaniah agama Islam berkembang ke Eropah dan umat Islam berjaya menakluki beberapa wilayah Barat sehingga pernah menguasai Greece, selain mengancam Hungary, Austria, Itali dan Perancis.

Ketika itulah tamadun Islam berkembang, dilambangkan pembinaan masjid dengan seni bina tersergam indah dengan identiti unik Islamik Turki, dimangkinkan terutamanya menerusi institusi wakaf.

Demikian juga, selain bertujuan amal kebajikan, wakaf pernah membiayai pembangunan infrastruktur termasuk jalan raya, jambatan, pusat perdagangan (caravanserai); semuanya dibiayai golongan kaya sebagai amal jariah mengejar pahala, membawa sebanyak manfaat kepada masyarakat di samping menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

Dalam menjayakan Minggu Wakaf, majalah penerbangan Turkish Airlines keluaran Mei, 2013 turut memberi perhatian kepada sumbangan luas wakaf untuk kepentingan besar masyarakat moden.

Wakaf bukan sahaja bertujuan menyempurnakan amal jariah untuk kebajikan manusia. Antara amalan wakaf Turki yang menarik perhatian termasuk:

• Membantu muda-mudi miskin berkahwin/mendirikan rumah tangga
• Menjaga keperluan pesakit miskin di rumah sendiri
• Menanam pokok di tebing sungai
• Memberi makanan kepada burung bangau stork
• Membantu pedagang dan pengusaha yang jatuh bankrap
• Membekalkan kasut kepada pelajar miskin

Jelas sekali potensi wakaf dalam membangun masyarakat di abad ke-21 sangat luas dan hanya memerlukan daya kreatif inovasi wakaf menyesuaikannya dengan keperluan hidup semasa.

Dalam bukunya yang sama Prof Murat Cizakca menegaskan, selain mengurangkan perbelanjaan kerajaan, wakaf juga berupaya menyumbang kepada satu lagi matlamat besar pembangunan, iaitu memperbaiki agihan pendapatan untuk kesejahteraan ekonomi.

Sesungguhnya institusi wakaf berpotensi membina semula tamadun mengatasi cabaran hidup pada zaman krisis hari ini, terutama impak negatif kapitalisme merosakkan.

Selain mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan beban cukai rakyat, sumbangan langsung golongan kaya dapat merapatkan jurang kaya-miskin.

Lebih penting lagi, menerusi institusi wakaf golongan kaya-raya tidak dilihat anti-sosial, serakah, rakus dan nafsu-nafsi. Kerana wakaf membuka peluang luas kepada individu dan swasta korporat kaya-raya menyumbang harta kekayaan untuk kebajikan bersama, sekali gus menambah nilai modal sosial atau ‘social capital’ negara.

 

Dalam buku terkininya bertajuk: “Islamic capitalisam and finance’, Profesor Murat Cizakca menegaskan institusi wakaf berpotensi “memainkan peranan penting dalam proses membina demokrasi negara Islam.

Ini kerana sejak berabad lamanya wakaf merupakan institusi masyarakat madani par ‘excellence’ dalam dunia Islam.” Justeru, beliau berpendapat institusi wakaf “sumber tenaga demokrasi paling perkasa.”

Dengan demikian negara majoriti penduduk Islam seperti Malaysia wajib menggembleng sepenuhnya potensi institusi wakaf, mengintegrasikannya langsung ke dalam proses membina negara demokrasi dan membangun ekonomi atas kadar pertumbuhan pesat, adil dan seimbang. Institusi wakaf, terutama Waqaf Korporat, satu-satunya institusi yang dapat mengatasi paradoks besar kapitalisme.

Paradoks yang dimaksudkan ialah bagaimana memanfaatkan dinamisme kapitalis menjana pertumbuhan ekonomi pacuan bisnes tanpa melebarkan jurang kaya-miskin, juga tanpa membebankan kerajaan dengan hutang dan defisit bajet besar. Waqaf Korporat boleh dibentuk oleh kerajaan, misalnya dengan mewakafkan GLC strategik seperti Felda, Johor Corporation dan syarikat milik GLC amanah seumpamanya. Ia juga boleh dibina oleh korporat swasta dan masyarakat amnya menerusi penubuhan Waqaf Korporat komuniti.

Profesor Murat berpendapat Waqaf Korporat menerusi kaedah wakaf saham “berkemungkinan mendominasi masa depan sistem wakaf.”

Beliau berkesimpulan demikian setelah mengkaji dan meneliti pengalaman Waqaf Korporat Turki membabitkan usaha wakaf korporat gergasi Turkey Vehbi Koc Foundation dan juga menilai pencapaian Johor Corporation di Malaysia.
Profesor Murat menyifatkan pengalaman Waqaf Korporat Johor Corporation menerusi penubuhan Waqaf An Nur Corporation Bhd satu “contoh cemerlang kaedah wakaf saham moden”.

Beliau seterusnya menegaskan pengalaman Johor Corporation relevan “kerana ia bertujuan mengintegrasikan sepenuhnya nilai Islam ke dalam amalan korporat. Dengan demikian ia menjadi satu contoh cemerlang amalan kapitalisme Islamik moden (an excellent example of modern Islamic capitalisam in action.”)

Kesimpulannya, tiba masanya Malaysia mengintegrasikan Waqaf Korporat sebagai institusi barisan depan dalam usaha memperbaharui sistem ekonomi mengatasi paradoks kapitalisme.

Menerusi Waqaf Korporat, kepesatan pertumbuhan berteraskan pacuan bisnes dikekalkan.

Lebih penting, sistem ekonomi dipacu Waqaf Korporat berupaya mengelak daripada dirosakkan beban hutang dan defisit bajet kerajaan berlebihan.
Selain itu ia boleh membanteras wabak “Westoxication”, iaitu penyakit menjangkiti negara Islam setelah menciplak kapitalis Barat mengakibatkan pelebaran jurang kaya-miskin dan peminggiran serta kezaliman terhadap golongan majoriti bukan bisnes dalam masyarakat.

KUMPULAN ARTIKEL
TAN SRI MUHAMMAD ALI HASHIM
PENGERUSI AWQAF HOLDINGS BERHAD (2012 – 2017)

Lain-lain artikel

 

BICARA NARATIF : PERPADUAN EKONOMI

Bicara Naratif - Perpaduan Ekonomi (1 Oktober 2024) 👤Oleh: YBhg. Baca Seterusnya..

Temubual IKIM.fm _ Peranan Wakaf dalam Pembangunan Ekonomi Negara

Temubual IKIM.fm – "Peranan Wakaf dalam Pembangunan Ekonomi Negara"  bersama Timbalan Pengerusi Baca Seterusnya..

Live Webinar Israk Mi’raj

Live Webinar: "Through Hardship There will be Ease: History and Baca Seterusnya..

LIVE Webinar Covid19 : Hikmah dan Kesiapsagaan

LIVE Webinar Covid19 : Hikmah dan Kesiapsagaan ================================ Bersama panelis Baca Seterusnya..

Memperkasakan Wakaf Sebagai Sektor Ketiga Ekonomi Negara

 LIVE Topik: Memperkasa Waqaf Sebagai Sektor Ketiga Ekonomi Negara oleh: Baca Seterusnya..