Bekalan kita ke akhirat

soybean growth in farm with blue sky background. agriculture plant seeding growing step concept

Fadly Samsudin

DUNIA hanya tempat persinggahan buat manusia ‘mengutip’ seberapa banyak bekalan untuk dibawa menuju ke alam abadi iaitu akhirat.

Dunia ialah ‘mazratul akhirat’ iaitu jambatan menuju ke akhirat. Setiap amalan manusia di atas muka bumi ini akan menentukan untung nasib mereka di akhirat.

Imam Al-Ghazali ada berpesan: “Ketahuilah dunia ini adalah tempat singgah untuk sementara waktu, bukan tempat tinggal yang sebenarnya, sedangkan manusia di dalamnya selaku musafir yang sedang berkelana.”

Kebahagiaan di akhirat tidak mungkin dapat dinikmati tanpa melakukan amalan baik ketika di dunia.

Ini termasuk menafkahkan harta di jalan Allah SWT, bersedekah, berinfak serta melaksanakan ibadat wajib.

Berbicara mengenai amalan bersedekah dan berinfak khususnya, ketika menghadapi sakaratul maut, manusia akan merayu kepada Allah SWT supaya ditangguhkan kematiannya semata-mata untuk berbuat demikian.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: ‘Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh.’” (Surah al-Munaafiquun, ayat 10)

Apa yang pasti, segala harta dunia yang kita miliki ini belum tentu menjadi milik kita. Bagaimanapun, setiap sen atau harta diinfakkan itu pasti akan menjadi pelaburan di akhirat kelak.

Kita semua mengetahui kisah seorang lelaki kaya pada zaman Nabi Musa iaitu Qarun.

Di dalam al-Quran disebutkan mengenai kekayaan Qarun. Dia seorang yang berlagak di hadapan orang ramai.

Malah, ramai bercitacita ingin menjadi sepertinya dengan memiliki rumah serba mewah serta pakaian yang cantik.

Qarun seorang yang sangat bakhil serta derhaka terhadap perintah Allah SWT. Akibatnya, semua hartanya yang banyak itu tidak sedikit pun mendatangkan manfaat buat dirinya.

Sifat bakhil itu menyebabkan dia lupa kekayaan dimilikinya adalah kurniaan daripada Allah SWT. Akhirnya, Qarun diseksa dengan rumah serta hartanya dikuburkan sekali bersamanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Kemudian Kami benamkan Qarun itu berserta rumahnya ke dalam tanah, maka tiada satu kaum yang dapat menolongnya selain daripada Allah, sedang ia tidak mendapat pertolongan apa-apa.” (Surah Al-Qashash ayat 81)

Apabila kita diuji hidup dalam kesusahan, itu sebenarnya adalah sebahagian ujian daripada Allah SWT untuk menilai tahap kesabaran serta reda pada diri kita.

Sekiranya ditakdirkan kita menjadi kaya raya, itu juga salah satu bentuk ujian bagi melihat sama ada kita bersyukur atau kufur atas nikmat itu.

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya melakukan sesuatu walaupun dilihat begitu sukar dilakukan pada awalnya namun pasti ada kemanisan pada akhirnya.

Bayangannya begini, manusia pasti tidak akan melepaskan peluang walaupun satu saat untuk melakukan amalan soleh sekiranya ‘akaun’ pahalanya dapat diakses serta diketahui kedudukannya.

Seperti kita boleh menyemak jumlah wang terkumpul di dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Wang itu hanya boleh dinikmati selepas seseorang itu bersara kelak.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 155 hingga 157 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami uji manusia itu dengan bermacam-macam ujian, adakalanya dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, kematian dan kekurangan buahbuahan, berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar atas cubaan itu. Iaitu orang-orang yang ditimpa musibah (malapetaka) mereka berkata: ‘Sesungguhnya kami ini kepunyaan Allah dan akan kembali kepada-Nya, untuk mereka rahmat daripada Tuhannya serta anugerah dan mereka itu mendapat petunjuk.’”

Kehidupan dunia dan akhirat perlu ada keseimbangan, namun Islam meletakkan kehidupan di akhirat yang lebih utama.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan carilah apa yang dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) kampung akhirat, dan jangan kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada manusia), sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat bencana di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak mengasihi orang-orang yang berbuat bencana.” (Surah Al-Qashash,ayat 77)

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan di  : Harian Metro (Rabu, 20 Mac 2019)

Terkini

Temubual IKIM.fm _ Peranan Wakaf dalam Pembangunan Ekonomi Negara

Temubual IKIM.fm – "Peranan Wakaf dalam Pembangunan Ekonomi Negara"  bersama Timbalan Pengerusi Baca Seterusnya..

Live Webinar Israk Mi’raj

Live Webinar: "Through Hardship There will be Ease: History and Baca Seterusnya..

LIVE Webinar Covid19 : Hikmah dan Kesiapsagaan

LIVE Webinar Covid19 : Hikmah dan Kesiapsagaan ================================ Bersama panelis Baca Seterusnya..

Memperkasakan Wakaf Sebagai Sektor Ketiga Ekonomi Negara

 LIVE Topik: Memperkasa Waqaf Sebagai Sektor Ketiga Ekonomi Negara oleh: Baca Seterusnya..

Wakaf Mampu Suntik Kemajuan Ekonomi

WAKAF MAMPU SUNTIK KEMAJUAN EKONOMI   KUALA LUMPUR: Wakaf boleh Baca Seterusnya..